Sabtu, 24 Oktober 2009

KISAH:APA SALAH DIA?

“Dia memberikan anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki, atau Dia menganugerahkan kedua jenis lelaki dan perempuan (kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya), dan Dia menjadikan mandul siapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.” (asy-Syura: 49-50)"

Saya tergerak hati untuk menulis kisah berkaitan dengan anak luar nikah. Anak luar nikah ini mungkin disebabkan oleh seorang wanita dirogol, melakukan zina, sumbang mahram atau sebab-sebab yang lain. Sebelum ini anak yang dilahirkan tanpa ikatan yang sah atau luar nikah akan diletakkan bin/binti dengan nama Abdullah. Sungguh cantik anak tersebut diletakkan bin/binti dengan nama Abdullah. Tetapi apa yang berlaku sekarang anak luar nikah ini tidak lagi diletakkan bin/binti Abdullah. Saya bukan hendak menyalahkan sesiapa dalam hal ini tetapi pernahkah kita semua terfikir apakah kesan kepada anak tersebut apabila mereka dewasa kelak. Anak-anak ini tidak pernah meminta dilahirkan dalam keadaan sedemikian dan mereka tidak bersalah tetapi inilah hakikat yang terpaksa mereka terima. Alangkah sedih dan malu sekiranya perkara ini terjadi kepada diri kita sendiri. Cuba kita semua renung dan bayangkan bagaimana kita hendak melalui kehidupan seharian apabila masyarakat mengetahui status kita? Sekiranya kita tabah dan selalu mendekati Allah S.W.T kita dapat menghadapinya tetapi bagaimana sekira sebaliknya? Mungkin kita merasakan diri kita tidak berguna dan jijik.

Kesannya juga bukan setakat apabila anak-anak itu meningkat dewasa tetapi kesannya juga bermula pada usia kanak-kanak lagi. Bin/binti itu begitu besar maknanya kerana dengan adanya bin/binti dapatlah orang mengenali asal usul dan keturunan kita. Hal ini berlaku kepada anak angkat emak saudara saya sendiri kerana status “bin”nya. Anak angkat emak saudara saya ini merupakan anak luar nikah disebabkan ketelanjuran seorang gadis dengan teman lelakinya. Sekarang anak angkat emak saudara saya telah mencecah usia 8 tahun dan menduduki darjah 2 disebuah sekolah rendah. Walaupun dia dilahirkan dalam keadaan luar nikah namun dia seorang kanak-kanak yang pintar dalam pelajaran dan comel rupa parasnya. Saya begitu tertarik dengan kebolehannya kerana pada usia 5 tahun lagi dia sudah boleh membaca surat khabar dengan lancar tanpa perlu mengeja. Dia juga merupakan murid yang paling pintar dalam kelasnya. Namun apa yang menyedihkan saya apabila kawan-kawan sekelasnya selalu mengejek kerana status “bin”nya. Berbanding dengan kawan-kawan yang lain yang mempunyai “bin” ayah masing-masing tetapi tidak bagi dia. Kawan-kawanya selalu memanggil dia ******** bin “biskut”, “roti” dan sebagainya. Walaupun dia masih kanak-kanak tetapi naluri hati kecil boleh merasai ejekan daripada kawan-kwannya sehingga dia mengeluarkan titisan air mata mendengar ejekan itu. Bayangkan anak kecil sepertinya sudah dapat merasai perkara itu, inikan pula apabila dia meningkat remaja. Saya yang tidak mengalami perkara ini turut menitiskan air mata apabila melihat dia mengalirkan air mata dengan ejekan kawan-kawannya itu. Apa yang memilukan hati saya lagi apabila dia menyatakan bahawa dia juga ada ayah tapi ayahnya sudah meninggal akibat terjatuh dalam laut. Itu yang sering dia luahkan apabila kawan-kawannya mengejek dia. Bagi kita sebagai orang dewasa perkara itu biasa sahaja, kerana sikap kanak-kanak tidak dapat lari daripada ejek mengejek. Namun, keadaan ini sudah cukup membuktikan bahawa pada usia kanak-kanak lagi kesannya sudah dirasai...SEKIAN...SAYA HARAP PEMBACA KISAH INI DAPAT MENGAMBIL IKTIBAR DARIPADA CERITA SAYA!!!

3 ulasan:

fairuzfazela berkata...

TAHNIAH SAUDARA... SAYA meminati kisah ni

irmanazar berkata...

sekarang ni mcm2 fenomena yang berlaku..tapi thniah pd fmly pokdik yang sanggup membantu kanak2 tersebut..ape yg penting sokongan dan dorongan positif perlu diberikan pada anak angkat tersebut supaya dia tak rasa rendah diri dan terbeban dengan statusnya..apa yg penting didikan agama perlu jelas diberikan pada kanak2 ini agar kesilapan yg sama tak akan berulang..bukan salah anak itu..

MOHAMAD SYZWAN BIN MAT SALLEH berkata...

betul2...insyallh,pe yg berlaku ada hikmahnya

Catat Ulasan